Pages

Thursday 22 December 2011

Mahathir Bongkar



















1. Tuduhan yang mengatakan saya pernah menulis surat kepada Bank Dunia untuk meminta pinjaman adalah tidak berasas sekali. Bagaimana pun, Malaysia memang pernah meminjam dari bank Dunia sejak 1958 untuk pembiayaan pelbagai projek.

2. Rundingan terakhir mengenai pinjaman-pinjaman tersebut diadakan pada 1997. Kesemuanya bagi membiayai projek-projek dalam:

a) Sektor pendidikan USD 244 juta
b) Sektor Sosial USD 100 juta

3. Krisis mata wang juga bermula pada 1997. Oleh itu, sememangnya kesemua pinjaman tersebut tidak diluluskan sehingga 1999, apabila krisis berlalu. Permohonan pinjaman perlu melalui peringkat-peringkat yang ditetapkan, dan diikuti rundingan. Kelulusan diberikan oleh bank tersebut kemudiannya.

4. Bank Dunia mahukan supaya Malaysia mendapatkan bantuan pinjaman bagi menangani krisis, seperti mana dilakukan oleh negara-negara lain yang terjejas akibat pemerdagangan mata wang. Segala pinjaman tersebut tertakluk kepada sama ada Malaysia akan mematuhi nasihat IMF berhubung pengurusan ekonomi. Umum diketahui Malaysia enggan mendapatkan bantuan sama ada daripada IMF atau Bank Dunia kerana ‘bantuan-bantuan’ tersebut hanya akan memburukkan lagi situasi kewangan negara. Sebaliknya, pada 1998, Malaysia mengenakan kawalan mata wang yang telah membantu memulihkan negara ini daripada cengkaman krisis mata wang berkenaan.

5. Pada Jun 1998 (sebelum kawalan mata wang dikenakan dan sewaktu Anwar masih memegang jawatan Menteri Kewangan) satu pinjaman berjumlah USD 300 juta dimeterai dengan Bank Dunia bagi tujuan:

a) Tabung Program Makanan
b) Tabung Pinjaman Pengajian Tinggi
c) Program Mikro-kredit

6. Menjelang 31 Mac, 1999, satu pinjaman berjumlah USD 100 juta ditandatangani bagi Bantuan Teknikal dalam usaha menangani ancaman Y2K. Bagaimanapun, pinjaman tersebut dihentikan setelah sejumlah USD 11.94 juta dikeluarkan.

7. Daripada jumlah USD 244 juta untuk Projek Pendidikan yang diluluskan pada Mac 1999, bayaran di arah supaya dihentikan setelah USD 216.7 juta dikeluarkan.

8. Untuk pinjaman Sektor Sosial pula, USD 60 juta yang diluluskan pada Mac 1999, hanya sejumlah USD 600,000 dikeluarkan sebelum ia dihentikan.

9. Seperti dunia maklum, Anwar dilaporkan oleh media sebagai bertanggungjawab melaksanakan dasar IMF tanpa memerlukan sebarang pinjaman daripada IMF itu sendiri. Beliau telah menaikkan kadar faedah, mengurangkan jangka masa bagi mengisytiharkan pinjaman-pinjaman tak berbayar daripada 6 bulan kepada 3 bulan, selain mengurangkan peruntukan bajet kepada kementerian-kementerian bagi merealisasikan lebihan belanjawan, dan lain-lain.

10. Walaupun beliau tidak membantah tindakan kawalan mata wang, namun orang yang dilantik oleh beliau sebagai Gabenor dan Timbalan Gabenor Bank Negara enggan melaksanakan dasar tersebut, dan sebaliknya bertindak meletakkan jawatan masing-masing. Susulan itu, Tan Sri Zeti dilantik sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia.

11. Seperti dinyatakan di atas, Malaysia menghentikan pengeluaran semua pinjaman yang dirundingkan dengan bank Dunia pada 1997 dan Jun 1998. Ini, bagaimanapun, tidak menghalang Malaysia pulih daripada krisis tersebut.

12. Saya tidak pernah menulis surat atau secara lisan meminta kemudahan pinjaman daripada Bank Dunia. Jika Anwar boleh menunjukkan bukti yang saya melakukan apa yang didakwanya itu, saya pelawa beliau berbuat demikian. Sekiranya beliau gagal berbuat demikian, beliau seharusnya bersumpah di hadapan Quran dalam masjid bahawa apa yang didakwanya itu adalah benar. Saya bersedia bersumpah bahawa saya tidak pernah meminta pinjaman daripada Bank Dunia.

0 comments:

Post a Comment